Search This Blog

Sunday 9 June 2013

USM cipta dapur boleh cas telefon bimbit

USM cipta dapur boleh cas telefon bimbit

Mohd. Zulkifly Abdullah menunjukkan dapur yang boleh digunakan untuk mengecas telefon bimbit di USM, Pulau Pinang, semalam.

PULAU PINANG 28 Mei - Kini anda tidak perlu lagi risau sekiranya bateri telefon bimbit kehilangan kuasa semasa berkhemah dalam hutan atau memancing di laut.

Ini kerana seorang penyelidik Universiti Sains Malaysia (USM) berjaya menghasilkan dapur mudah alih yang mampu menjana kuasa bagi mengecas peralatan seperti telefon bimbit atau radio.

Dapur berbentuk enam segi rekaan Prof. Mohd. Zulkifly Abdullah itu mampu menghasilkan sel-sel termoelektrik daripada haba yang diserapkan ke bahagian dinding dan boleh digunakan untuk mengecas bateri telefon bimbit.

Dalam pada itu, Mohd. Zulkifly berkata, dapur rekaannya itu dikatakan yang pertama di pasaran menggunakan poros daripada seramik sebagai bahan pemanas.

"Poros ini mengandungi alumina disalut karbida silikon yang berupaya mengurangkan penghasilan karbon dioksida dan nitrogen oksida.

"Tanpa nyalaan api, masakan boleh dipanaskan dengan hanya menggunakan haba yang dihasilkan oleh poros itu," katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.

Yang hadir sama, Naib Canselor USM, Prof. Datuk Omar Osman.

Mohd. Zulkifly berkata, konsep sinaran haba sedemikian lebih menjimatkan bahan bakar seperti gas sehingga 50 peratus berbanding nyalaan api.

Selain itu jelasnya, kepanasannya boleh mencecah sehingga 720 darjah Celcius berbanding nyalaan api yang biasanya sekitar 600 darjah Celcius.

Dapur berkenaan boleh menggunakan pelbagai bahan bakar seperti gas petroleum cecair (LPG) jika di dalam bangunan dan butana untuk kegiatan di luar.

Mohd. Zulkifly daripada Fakulti Kejuruteraan Mekanikal mengambil masa tiga tahun untuk menghasilkan prototaip dapur tersebut.



© Utusan Melayu (M) Bhd 

Sent from my iPhone

No comments:

Post a Comment