Search This Blog

Tuesday 25 June 2013

Blog al-Kubrawiyyah: Adakah Rasulullah Melihat Allah s.w.t Ketika Mi’raj ?

Telah terjadi perselisihan antara para ulama mengenai masalah ini ketika Rasulullah s.a.w diangkat ke langit 'mi'raj'.  Oleh yang demikian, saya nukilkan beberapa pendapat yang saya perolehi selepas munaqasyah saya dengan guru saya yang mulia al-Muhaddisth as-Syeikh Abdul Qadir bin Mohd. Yusuf al-Madani.

Al- Qadhi Iyad Rahimahullah berkata, para ulama salaf dan khalaf berbeza pendapat apakah Nabi s.a.w melihat Allah s.w.t pada malam Isra'. Aisyah r.a mengingkari bahawa Nabi s.a.w melihat Allah s.w.t pada malam Isra' sebagaimana yang disebutkan pada sahih Muslim. Hal yang senada juga diriwayatkan dari Abu Hurairah dan para perawi hadis. Inilah pendapat yang masyhur dari Ibnu Mas'ud r.a, dan inilah pendapat yang dipegang oleh para muhaddithsin dan mutakallimin[1].

Al-Hafiz Imam Ibn Kathir telah memetik didalam kitab tafsirnya bahawa Imam Muslim meriwayatkan  dalam kitab sahihnya dari Ibn Abbas bahawa dia pernah berkata: "Muhammad pernah melihat Rabbnya dengan mata hatinya sebanyak dua kali."[2] 

Imam an-Nasai meriwayatkan, Ishaq bin Ibrahim memberitahu kami dari Ibnu Abbas r.a ia berkata: " Apakah kalian hairan dengan gelaran al-Khullah (kekasih) yang diberikan kepada Ibrahim dan al-Kalam (Pembicaraan langsung) yang diberikan kepada Musa dan ar-Ru'yah (penglihatan kepadaNya) yang diberikan kepada Muhammad s.a.w."[3]

Diriwayatkan dari Ibnu Abbas r.a bahawa Nabi s.a.w melihat Allah s.w.t pada malam Isra' dengan mata kepalanya. Hal yang senada juga diriwayatkan dari Abu Zarr, Ka'ab dan al-Hassan Rahimahullah dan dia sampai bersumpah atas yang demikian[4].

Hal yang senada juga dihikayatkan dari Ibnu Mas'ud, Abu Hurairah dan Ahmad bin Hanbal. Sementara sebahagian dari guru-guru kita tidak berkomentar terhadap hal ini, dan berkata: "Tidak ada dalil yang jelas dalam masalah ini, akan tetapi hal ini boleh terjadi."[5]

Dasar dalam masalah ini adalah hadis Ibnu Abbas. Ibnu Umar telah merujuk Ibnu Abbas dalam masalah ini, dan bertanya melalui surat apakah Nabi s.a.w melihat Tuhannya, kemudian Ibnu Abbas menjawab bahawa Nabi s.a.w melihat Tuhannya.[6]

Al-Hafiz Imam Ibn Kathir juga ada meriwayatkan hadis dari Imam Ahmad melalui Ibnu Abbas r.a bahawa Rasulullah s.a.w bersabda:
"Aku telah melihat Rabb ku Azzawajalla."[7]

Namun begitu terdapat satu hadis dari Aisyah yang mengingkari perkara ini yang telah diriwayatkan oleh Imam al-Bukhari.

Dari Aisyah r.a katanya: Siapa yang menceritakan kepada engkau bahawa Muhammad melihat Tuhannya, sesungguhnya orang itu dusta. Kerana Tuhan telah berfirman: "Dia tidak dapat dicapai oleh penglihatan mata, sedang dia dapat melihat segala yang kelihatan; dan dialah yang Maha halus lagi Maha Mengetahui." Dan siapa yang menceritakan kepada engkau bahawa Muhammad mengetahui ha ghaib, sesungguhnya orang itu dusta kerana Tuhan telah berfirman: "Tiada mengetahui hal yang ghaib melainkan Allah."[8] 

Al-Muhaddist as-Syeikh Prof. Dr. Syed Muhammad Alawi mengatakan bahawa dalam hal ini tidak menjelaskan hadis Aisyah, kerana Aisyah sendiri tidak pernah mengatakan bahawa dia pernah mendengar Rasulullah s.a.w berkata: "Aku tidak melihat Tuhanku."Akan tetapi Aisyah hanya mengatakan pendapatnya berdasarkan pentafsiran firman Allah sahaja.[9] 

Beliau seterusnya menyatakan bahawa apabila seorang sahabat mengatakan suatu pendapat, sementara sahabat-sahabat yang lain menyalahi pendapat tersebut, maka pendapat tersebut tidak boleh dijadikan hujah.

Jika riwayat-riwayat Ibnu Abbas di atas sahih bahawa Nabi s.a.w melihat Allah s.w.t, maka wajib menetapkannya sebab hal ini tidak termasuk logika dan prasangka akan tetapi diperolehi dari pendengaran. Tidak boleh seseorang pun berprasangka bahawa Ibnu Abbas bercakap tentang hal ini berdasarkan prasangka dan ijtihadnya sendiri.

Mu'ammar bin Rasyid ketika disebutkan perbezaan pendapat antara Aisyah dan Ibnu Abbas berkata: "Menurut kami, Aisyah bukanlah orang yang lebih tahu dari Ibnu Abbas, kemudian Ibnu Abbas menetapkan sesuatu yang dinafikan orang lain, yang menetapkan lebih didahulukan daripada yang menafikan."[10]   

Di antara ulama yang mensabitkan ru'yah pada diri Baginda Nabi adalah Imam Ahmad. Hal ini seerti yang diceritakan oleh al-Khalal dalam kitab al-Sunnah daripada al-Maruzi, aku berkata kepada Ahmad: Sesungguhnya mereka berkata, sesungguhnya Aisyah berkata: "Sesiapa yang berprasangka bahawa Muhammad s.a.w melihat Tuhannya, maka dia telah membuat fitnah yang besar pada Allah. Dengan apa perkataan mereka dapat ditolak? Berkata perawi, Baginda Nabi s.a.w bersabda: "Aku telah melihat Tuhanku." Sabda Baginda Nabi s.a.w lebih besar daripada perkataan Aisyah.[11]   

Kesimpulannya, pendapat yang lebih kuat menurut jumhur ulama-ulama sunnah adalah Rasulullah s.a.w melihat Allah s.w.t pada malam Isra' berdasarkan hadis Ibnu Abbas dan yang lainnya, sebagaimana yang telah disebutkan.

Mereka mengatakan, untuk menetapkan hal ini adalah perkataan Rasulullah sendiri, oleh kerana itu tidak perlu diragukan lagi. Kemudian Aisyah r.a tidak pernah menafikan bahawa Nabi s.a.w melihat Allah s.w.t dengan satu hadis Rasulullah. Seandainya ada hadis dari Rasulullah yang diketahui oleh Aisyah, pasti dia akan menyebutkannya. Akan tetapi dia berpegang kepada ayat.

Kesimpulan:-

Dalam perkara ini ada tiga pendapat sebagaimana berikut[12]:-

Pertama
Nabi s.a.w tidak melihat Allah. Inilah pendapat Sayyidah Aisyah r.a iaitu riwayat yang masyhur dari Ibnu Mas'ud. Hal yang senada juga diriwayatkan dari Abu Hurairah, dan riwayat inilah yang dipegang oleh kebanyakan ulama hadis dan ulama kalam.

Kedua
Nabi s.a.w melihat Allah s.w.t. Inilah pendapat Ibnu Abbas dan Urwah bin Zaubair, iaitu riwayat yang masyhur dari al-Hassan, Ka'ab al-Ahbar, az-Zuhri dan Mu'ammar. Pendapat inilah yang dipegang oleh Abu al-Hassan al-Asyari dan kebanyakan pengikutnya.

Kemudian mereka berbeza pendapat apakah Nabi s.a.w melihat Allah s.w.t dengan mata kepala atau dengan hati? Kedua pendapat ini diriwayatkan dari Imam Ahmad. Imam Nawawi berkata: "Pendapat yang paling kuat menurut kebanyakan ulama adalah bahawa Rasulullah s.a.w melihat Allah s.w.t pada malam Mi'raj dengan mata kepalanya."

Ketiga
Sekelompok ulama tidak menetapkan dan juga tidak menafikan, kerana dalilnya yang saling bertentangan. Pendapat inilah yang dipilih oleh Imam Abu al-Abbas al-Qurthubi. Dia menisbatkan atau membangsakannya kepada ulama-ulama muhaqqiq dan dia mengatakan bahawa tidak ada dalil yang mutlak dalam masalah ini.


Wallahu 'Allam…


[1] Al-Maliki, Prof. Dr. Syed Muhammad Alawi (Ter: Muhammad Akhyar), Wahuwa Bil Ufuqil 'Ala. Pustaka as-Safa, Kuala Lumpur. 2009, mukasurat: 162.
[2] Alu Syeikh, Dr. Abdullah bin Muhammad bin Abdul Rahman bin Ishaq, Tafsir Ibn Kathir. Pustaka Imam asy-Syafi'I, Indonesia. Jilid 9 Cetakan Kedua 2010, muka surat: 182.
[3] Ibid. Muka surat : 183
[4] Al-Maliki, Prof. Dr. Syed Muhammad Alawi (Ter: Muhammad Akhyar), Wahuwa Bil Ufuqil 'Ala. Pustaka as-Safa, Kuala Lumpur. 2009, mukasurat: 162.
[5] Ibid.
[6] Ibid.
[7] Alu Syeikh, Dr. Abdullah bin Muhammad bin Abdul Rahman bin Ishaq, Tafsir Ibn Kathir. Pustaka Imam asy-Syafi'I, Indonesia. Jilid 9 Cetakan Kedua 2010, muka surat: 184.
[8] Sahih BukhariKlang Book Center. Hadis No: 1985.
[9] Al-Maliki, Prof. Dr. Syed Muhammad Alawi (Ter: Muhammad Akhyar), Wahuwa Bil Ufuqil 'Ala. Pustaka as-Safa, Kuala Lumpur. 2009, mukasurat: 163.
[10] Ibid. Muka surat: 164
[11] Al-Asqalani, Imam Ibnu Hajar, Isra' Mi'raj. Jahabersa, Johor Bharu. 2007, muka surat: 256.
[12] [12] Al-Maliki, Prof. Dr. Syed Muhammad Alawi (Ter: Muhammad Akhyar), Wahuwa Bil Ufuqil 'Ala. Pustaka as-Safa, Kuala Lumpur. 2009, muka surat: 165.
http://alkubrawiyyah.blogspot.com/2010/07/adakah-rasulullah-melihat-allah-swt.html?m=1


Sent from my iPhone

No comments:

Post a Comment