KUALA LUMPUR - Yang di-Pertuan Agong Tuanku Abdul Halim Mu'adzam Shah dan Raja Permaisuri Agong Tuanku Hajah Haminah malam ini berkenan berangkat ke Forum Perdana Diraja sempena sambutan ulang tahun Hari Keputeraan Rasmi Seri Paduka di Istana Negara.

Forum bertajuk 'Menjunjung Kasih Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong Mendaulatkan Institusi Diraja' itu turut dihadiri Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin, Menteri Wilayah Persekutuan Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Jamil Khir Baharom.

Dianjurkan Istana Negara dan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), forum itu disiarkan secara langsung di TV1 Radio Televisyen Malaysia (RTM) turut dihadiri kira-kira 800 jemputan.

Berlangsung selama sejam setengah bermula 9 malam, forum itu antara lain mengupas peranan penting institusi raja sebagai tunjang dalam membangunkan negara serta memastikan rakyat terus hidup aman dan harmoni di bawah payung institusi itu.

Ia disertai tiga panelis iaitu Prof Madya Dr Sharifah Hayaati Syed Ismail dari Universiti Malaya serta dua penceramah terkemuka iaitu Mohammad Kazim Elias atau lebih dikenali sebagai Ustaz Kazim dan Don Danial Don Biyajid atau Ustaz Don. - Bernama


Sent from my iPhone